Manfaat
Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah
Dasar 1Murid 1Sukan yang
telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak
mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program
pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan
skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk
meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu,
pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut
dalam perbincangan seterusnya.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini
ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang
berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan
dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan
terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai
aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola
tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang
memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program
ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan
diri daripada aktiviti yang kurang sihat.
Dasar
ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau
permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat
disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai
pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya.
Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan
gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat
mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh
mereka.
Selain
itu, program ini dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan
kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang
aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas.
Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah
untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang
akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat
menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa
melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam peperiksaan.
Seterusnya,
dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti
sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk
melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka.
Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau
dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah.
Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam
aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk
mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat
murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang
diminati oleh mereka.
Melalui
dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam
kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti
sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan
ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya,
murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum
seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan
atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat
dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum.
Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat
kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.
Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid
1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam
sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang
terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini
tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni
tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan
perkara ini, ibarat bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu
itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang
sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.
.