Manfaat
Penghayatan Prinsip-Prinsip Rukun Negara
Sejak bangku sekolah lagi kita dididik dengan semangat
prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bangsa, dan
agama di negara ini. Rukun Negara yang yang diperkenalkan secara rasmi pada 31
Ogos 1970 mengandungi lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,
Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan
Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan adalah antara resepi kejayaan negara
dalam menyatupadukan rakyat. Walau bagaimanapun penghayatan Rukun Negara kini
semakin terhakis dari jiwa rakyat Malaysia apabila mereka meningkat dewasa.
Buktinya, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat sejak
belakangan ini. Hal ini disebabkan oleh remaja pada alaf ini tidak menyedari
kepentingan atau manfaat menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara. Persoalannya,
apakah manfaat yang diperoleh melalui penghayatan Rukun Negara?
Salah satu manfaat Rukun Negara dihayati ialah
amalan budi bahasa dapat disemarakkan seperti yang tercatat dalam prinsip yang
kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Setiap kaum di negara ini percaya
bahawa bersopan santun dan kesusilaan dapat dilihat pada tingkah laku dan tutur
kata seseorang. Bahasa yang lembut dan bersopan santun serta tingkah laku yang
baik akan menjamin hubungan yang harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum
di negara ini. Prinsip ini jika dipraktikkan akan membantu mewujudkan sebuah
masyarakat yang baik, berbudi bahasa, bersopan santun dan bersusila serta dapat
mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu ibarat telur
sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Tegasnya, penghayatan Rukun Negara dapat
menyemarakkan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita hari ini selaras dengan
kempen kerajaan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.
Selain itu, penghayatan Rukun Negara dapat melahirkan
masyarakat yang mematuhi undang-undang. Setiap negara memerlukan undang-undang
untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur.
Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat
bergerak lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota
masyarakat akan berasa selamat. Sejarah Tamadun China membuktikan bahawa
masyarakat yang sempurna hanya dapat diwujudkan melalui undang-undang. Individu
yang patuh pada undang-undang tidak akan melanggar undang-undang yang telah
ditetapkan untuk kebaikan dalam semua perkara seperti melanggar peraturan jalan
raya dan merampas hak orang lain. Kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan
agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harrnoni. Kesedaran ini
perlu diwujudkan dan dikekalkan dalam pemikiran rakyat sejak kecil lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharlah bahawa berpegang pada prinsip
Rukun Negara yang keempat iaitu ‘Kedaulatan Undang-undang’ dapat
melahirkan masyarakat yang mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh negara.
Satu lagi manfaat yang tidak dapat dipertikaikan ialah
semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dapat ditingkatkan. Bagi membentuk
sebuah negara yang berdaulat dan bersepadu selepas berlakunya peristiwa rusuhan
kaum pada 13 Mei 1969, Malaysia melalui kebijaksanaan dan kerjasama para
pemimpinnya telah melakarkan suatu garis panduan, iaitu Rukun Negara. Menurut
Profesor Syed Huseein al-Attas, "Patriotisme ini adalah tiada jaminan yang
paling meyakinkan demi mempertahankan nasib bangsa kecuali memiliki rasa kasih
sayang yang tinggi terhadap negara." Oleh itu, Rukun Negara merupakan
salah satu elemen yang vital dalam menunjukkan perasaan cinta akan negara.
Rukun Negara juga merupakan tonggak perpaduan rakyat. Sebagai negara yang
berpaksikan ideologi demokrasi, hak dan kebebasan rakyat hendaklah dihormati.
Rakyat perlu sensitif terhadap kepentingan dan nilai perasaan orang lain,
seperti kata peribahasa Melayu, hukum orang memiat daging, sakit di orang
sakitlah di awak. Tamsilnya, setiap rakyat perlu hormat dan taat kepada raja
dan negara seperti tertera dalam rukun negara. Dengan ini, sebuah negara yang
berdaulat dan merdeka dapat diwujudkan. Oleh itu, jelaslah bahawa prinsip rukun
negara yang diikrarkan dapat melahirkan warganegara yang berpatriotik di nusa
tercinta ini.
Sebagai intihanya,
sememangnya terdapat pelbagai kemaslahatan rakyat Malaysia untuk menghayati
Rukun Negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara merupakan kunci kepada masyarakat
majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan
kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Oleh itu, semua pihak
terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus
berganding bahu bagai aur dengan tebing dan melaksanakan obligasi masing-masing
demi memastikan generasi muda kini faham dan mengamalkan kelima-lima prinsip
Rukun Negara. Jika tindakan seia sekata, sehati sejiwa ini berjaya
dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan pencapaian hasrat ini,
negara kita yang dipayungi dengan keharmonian dan kesejahteraan mampu merealisasikan
Wawasan 2020 dan sekali gus menjadi terkenal di seantero dunia.