Jelaskan Implikasi Penggunaan Telefon
Bimbit Kepada Pelajar
Alaxander Graham Bell merupakan insan
yang bertanggungjawab mencipta alat telekomunikasi yang dinamakan sebagai
telefon. Ciptaan beliau ini telah dimajukan dan dimodenkan melaui penciptaan
telefon bimbit atau dikenali juga sebagai telefor selular. Dalam era yang serba canggih dengan kemajuan sains dan
teknologi, telefon bimbit adalah satu kemestian untuk dimiliki oleh semua orang
terutamanya pelajar zaman sekarang. Telefon bimbit merupakan satu alat
komunikasi yang sangat popular dan semakin meluas dengan kecanggihannya tanpa
mengira harganya. Hal ini kerana pelajar zaman sekarang mampu untuk mendapatkan
atau memiliki telefon bimbit yang canggih dengan teknologi sekarang. Terdapat
pelbagai jenama telefon bimbit di pasaran di negara kita seperti telefon bimbit
jenama nokia, samsung, iphone, blackberry dan
lain-lain. Jika diperhalusi, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar ini
mendatangkan implikasi yang pelbagai kepada para pelajar. Persoalannya,
apakah-apakah implikasi yang akan diterima oleh para pelajar jika mereka
menggunakan telefon bimbit dengan bijak atau sebaliknya?
Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan telefon
bimbit banyak memberikan faedah kepada para pelajar. Salah satu kebaikan yang
dimaksudkan ialah telefon bimbit boleh digunakan untuk menghubungi insan tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati.
Dewasa ini, terdapat para pelajar yang melanjutkan pelajaran di sekolah yang
berjauhan dari tempat tinggal mereka dan mereka akan tinggal di asrama. Mereka
terpaksa berenggang dengan ahli keluarga tersayang mereka demi melunaskan
tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan merealisasikan impian keluarga untuk
mencapai kejayaan. Jadi, hanya sebuah telefon bimbit yang dapat menjadi medium
untuk mereka melepaskan kerinduan. Mendengar suara ibu dan bapa pastinya
membuatkan jiwa pelajar lebih tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan insan
yang paling mengenali diri anaknya. Apabila para pelajar bakal menduduki
peperiksaan, mereka akan menghubungi ibu bapa mereka melalui telefon bimbit
untuk mendapatkan kata-kata motivasi. Oleh hal yang demikian, penggunaan
telefon bimbit oleh para pelajar pastinya dapat mengukuhkan ikatan silaturahim
antara ahli keluarga bagai isi dengan
kuku walaupun tinggal berjauhan. Tegaslah bahawa telefon bimbit merupakan
medium yang berkesan sebagai alat perhubungan antara pelajar dengan ahli keluarganya.
Lain daripada itu, penggunaan telefon
bimbit dapat membantu para pelajar untuk bertanyakan hal-hal yang berkaitan
persekolahan. Sebagai seorang pelajar, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh
guru merupakan satu kewajipan penting bagi seseorang pelajar yang ingin
berjaya. Dalam masa yang sama juga, ada pelajar yang perlu berada di luar
kawasan sekolah untuk mengharumkan nama sekolahnya dengan menyertai pelbagai
pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Jabatan atau Kementerikan Pendidikan.
Hal ini menyebabkan pelajar tersebut tidak dapat mengikuti aktiviti pengajaran
dan pembelajaran di sekolah. Oleh itu, pelajar itu akan menghubungi
rakan-rakannya melalui telefon bimbit untuk bertanyakan tugasan yang perlu
disiapkan waima tidak berada di sekolah. Secara tidak langsung, segala perkara
penting yang disampaikan oleh guru ketika pelajar tidak boleh hadir ke sekolah
dapat diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Budaya
tolong-menolong ibarat berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing antara pelajar sekolah juga dapat dipupuk
dalam kalangan pelajar. Ringkasnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan
pelajar dapat memudahkan urusan pembelajaran mereka.
Malangnya, di sebalik kebaikan telefon bimbit, ada
udang di sebalik batu di sebalik penggunaannya. Hal ini
dikatakan demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan impak negatif
terhadap penggunanya terutama kepada para pelajar. Salah satu kesan negatifnya
ialah penyalahgunaan telefon bimbit dapat menatijahkan prestasi akademik dalam
kalangan pelajar semakin merosot. Hal ini memanglah serius kerana pendidikan
merupakan teras kekuatan masyarakat supaya mampu berdaya saing dengan pasaran
global pada era globalisasi yang pantas berubah. Misalnya, pelajar telah
mengabaikan pelajaran mereka kerana fokus pelajar semasa waktu pengajaran dan
pembelajaran telah berkurang. Menurut kajian, rata-rata generasi muda
menggunakan aplikasi dalam telefon pintar untuk melayari laman sembang dan
aplikasi permainan maya sehingga ketagihan. Secara implisit, prestasi akademik
pelajar akan merosot kerana kekurangan
inisiatif dan semangat yang membara bagai hilang kapak berganti beliung selepas
ketagihan dalam perisian telefon bimbit yang semakin canggih. Jelaslah bahawa
ketagihan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menjejaskan
prestasi akademik mereka.
Jika ditinjau dari pandangan
perancangan masa, pelajar yang menggunakan telefon bimbit tanpa batasan telah
mensia-siakan masa hadapan mereka. Pengurusan masa memanglah penting untuk
membentuk sahsiah diri yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang menghargai
setiap detik yang dikurniai oleh Tuhan. Masa bagai mata pedang yang akan
memancung kita jika tidak dimanfaatkan dengan bijak. Jadi, usia remaja perlulah
diisi dengan sebaik-baiknya dalam aktiviti yang berfaedah dan bukannya
menghabiskan masa berkualiti mereka dengan menatap skrin telefon bimbit.
Menurut tinjauan terkini, generasi muda telah menghabiskan sekurang-kurangnya
19 jam seminggu dalam penggunaan peranti mewah seperti telefon pintar, tablet
dan sebagainya. Ironinya, pelajar kini lebih cenderung membazirkan masa untuk
menghantar khidmat pesanan ringkas(SMS), bersembang dalam talian dan bermain
permainan maya yang tidak membawa manfaat dari segi perkembangan jiwa dan
minda. Jadi, pengurusan masa
penting kerana semakin lama kita melayani perkara yang membazir, semakin
jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Izharnya, penyalahgunaan
telefon bimbit akan membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda
kapar tetap tidak berlalu.
Akhir sekali
dan tidak kurang pentingnya, penggunaan telefon bimbit dapat memudaratkan
kesihatan pelajar. Akibat perkembangan arus perdana tanpa batasan, pelajar kini
semakin pasif dalam pergerakan fizikal dan mental. Kebanyakan masa telah
dihabiskan di depan telefon bimbit atau tablet kerana tidak ingin ketinggalan
dalam arus globalisasi yang pantas bergolek. Natijahnya, kadar metabolisme yang
rendah akan menggangu sistem peredaran darah dan proses perkumuhan. Pada era
atom ini, kadar radioaktif atau ultraungu telah menjejaskan penglihatan
pelajar. Mengikut kajian, masalah penyakit dalam kalangan pelajar seperti
penyakit lelah, asma, penyakit mata dan telinga semakin kronik dan seakan-akan
tiada penghujung. Mengikut kajian terbaru daripada 31
saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan
telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak. Hal ini
kerana gelombang elektromagnet yang terhasil daripada telefon bimbit apabila
terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan mutasi
genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan kanser otak.
Jika hal ini berlaku sudah pasti pelajaran dan masa hadapan pelajar akan
terjejas kerana tidak dapat hadir ke sekolah seperti pelajar yang tiada masalah
kesihatan. Pendek kata,
penggunaan telefon bimbit yang terlampau oleh para pelajar akan menjejaskan
tahap kesihatan mereka.
Sebagai penghias penutup bicara, walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh
diterima oleh para pelajar daripada penggunaan telefon bimbit, para pelajar
juga akan menerima kesan negatif daripada penggunaan telefon bimbit jika tidak
digunakan secara berhati-hati. Jika tidak digunakan untuk
kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran pelajar itu
sendiri. Sewajarnya para pelajar yang merupakan tonggak negara pada masa
hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara sebelum
dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera. Oleh itu, para pelajar
perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau alat yang dicipta dalam dunia
serba canggih ini dengan cara yang betul. Ibu bapa juga perlu menyelamatkan para pelajar
daripada ketagih kepada telefon bimbit. Memandangkan penggunaan telefon bimbit
dalam kalangan pelajar lebih mengarah kepada status dan bukannya satu
keperluan, ibu bapa berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Jika tidak,
pelbagai masalah yang tidak diingini akan wujud sebaik sahaja pelajar yang
belum keras ubun-ubunnya mula menggunakan telefon bimbitnya. Kita sebagai
manusia sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya.
Diharapkan usaha untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan
terbilang di negara kita dalam pelbagai aspek dapat direalisasikan.
.