Keruntuhan
Akhlak Remaja Berpunca Daripada Keruntuhan Institusi Keluarga
Menuju tahun 2020, masalah keruntuhan akhlak dalam
kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti tiada penghujungnya.
Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai dalam kalangan remaja kita
terlibat dengan gejala sosial seperti meragut, mencuri dan sebagainya. Namun
demikian apakah puncanya? Hal ini disebabkan oleh kegagalan institusi
kekeluargaan. Institusi kekeluargaan yang terdiri daripada ibu bapa dan
anak-anak sepatutnya bekerjasama dalam mempertahankan kebahagiaan institusi
kekeluargaan masing-masing. Ibu bapa seharusnya melindungi dan mendidik anak
supaya mereka tidak tersalah arah dan terlibat dengan gejala sosial.
Kegagalan institusi kekeluargaan berpunca daripada
kekurangan ilmu tentang hidup berkeluarga dan pelbagai ilmu dalam
perkahwinan. Masyarakat kini ramai yang berkahwin dalam usia muda kerana
terlalu mengikutkan perasaan dan hawa nafsu. Mereka sepatutnya mempersiapkan
diri mereka dengan pelbagai ilmu supaya setiap perkara yang terjadi dalam rumah
tangga mereka dapat diselesaikan secara baik dan berdiplomasi. Jika mereka
tiada ilmu atau kurang ilmu, setiap perselisihan faham yang berlaku akan
menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya berlakulah penceraian.
Hal ini menyebabkan anak-anak mereka yang akan terkena tempias atas kekhilafan
diri mereka sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu
sebelanga. Anak-anak yang tertekan denagn masalah penceraian tersebut akan
mencari kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri seperti
melarikan diri mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh memberikan
kebahagiaan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa kekurangan
ilmu dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan
akhlak.
Seterusnya, keruntuhan institusi kekeluargaan juga
berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar kemewahan duniawi
tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi dalam dunia yang
sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka menyediakan
segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih sayang yang
secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan insan yang
perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna. Jika ibu bapa
terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu hari nanti
anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa mereka atas
kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak ini juga akan
menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan perkara yang tidak
berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak anak ini ibarat
kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk mencorakkan
peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang lebih
berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa
kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak dalam
diri remaja.
Selain itu, keruntuhan institusi kekeluargaan juga
berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama. Hal ini demikian
kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang bahagia. Institusi
kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan goyah walaupun
ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang tidak berpegang
kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai melanda. Anak – anak
yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk melakukan perkara-perkara
negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak ini perlu dididik menghayati
agama sejak kecil lagi seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Jika sudah menginjak ke usia remaja, mereka sukar menerima nasihat
dan melakukan perubahan. Mereka lebih rela membuat keputusan tanpa memikirkan
kesan dan tidak berpaksikan pada ajaran agama. Akibat daripada itu, mereka
mungkin akan terjebak dalam perkara yang tidak sihat seperti merokok dan
sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan agama boleh mengakibatkan keruntuhan
institusi kekeluargaan.
Akhir sekali, keruntuhan institusi kekeluargaan berpunca
daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini demikian kerana, dalam dunia
yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan kelansungan hidup. Bagi
mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau pekerja kolar biru ,
mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk keluarga mereka. Hal ini
juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas untuk mendapatkan segala
keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan sebagainya. Pada usia
remaja, mereka sering berasa iri hati apabila melihat rakan-rakan yang mampu
untuk mendapatkan apa yang mereka mahu seperti telefon bimbit, komputer riba
dan sebagainya. Namun demikian, seorang anak yang prihatin tidak akan
membebankan ibu bapanya dengan meminta lebih daripada apa yang mampu diberikan
kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk kegunaan pada masa
kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak. Mereka perlu sedar
bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan anak anak remaja
bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.
Tuntasnya, untuk mengelakkan berlakunya kegagalan institusi
keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak remaja, ibu bapa
seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini demikian kerana, segala
kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak terutamanya remaja akan
menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak dengan masalah sosial
yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu bahawa kegagalan mereka
dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan dalam diri anak-anak mereka.
Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka perlu didisiplinkan supaya
menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang akan membawa negara kita ke
persada antarabangsa yang terkenal dengan kebudayaan dan budi pekerti yang
tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi pekerti. Maruah negara kita pada
masa hadapan berada di tangan anak anak remaja kini. Jadi, mereka perlu bangkit
daripada dunia angan-angan untuk menempuh dunia realiti.
.