Kesalahan Penggunaan Kata Adjektif

Kesalahan Penggunaan Kata Adjektif

1.    Satu kata adjektif hanya boleh ada satu kata penguat sahaja. (gunakan salah satu sahaja)
Salah:
-Sungai yang paling panjang sekali di sini ialah Sungai Pahang.
-Hadiah yang terlalu bernilai sungguh bagi saya ialah kereta.
Betul:
-Sungai yang paling panjang di sini ialah Sungai Pahang.
-Sungai yang panjang sekali di sini ialah Sungai Pahang
-Hadiah yang terlalu bernilai bagi saya ialah kereta.
-Hadiah yang bernilai sungguh bagi saya ialah kereta.
ii. (kekecualian) Kata penguat bebas sahaja boleh digunakan dua untuk satu kata adjektif. (iaitu ‘sangat, amat dan sungguh’ di hadapan; serta ‘sekali’ di belakang)
Betul:
-Makanan itu sungguh murah sekali harganya.
-Kereta itu amat mahal sekali harganya.
-Guru itu sangat rajin sekali membantu kami
iii. Kata adjektif berimbuhan ‘ter….’ tidak boleh diletakkan kata penguat. (kecuali untuk perkataan ‘terkenal’)
Salah:
-Rumah yang terbesar sekali ialah rumah Abu Bakar.
-Kejayaan itu adalah sangat terbesar kepada saya.
Betul:
-Rumah yang terbesar ialah rumah Abu Bakar.
-Rumah yang besar sekali ialah rumah Abu Bakar.
-Kejayaan itu adalah terbesar kepada saya.
-Kejayaan itu adalah sangat besar kepada saya.
iv. Kata adjektif emosi yang tidak berimbuhan, mesti diikuti dengan ‘kata hubung’ atau ‘kata sendi’ jika hendak dipanjangkan. (‘akan, kepada, dengan’ dan lain-lain)
Salah:
-Ali sangat rindu ibunya di desa.
-Kami terlalu marah sikap pemalunya itu.
Betul:
-Ali sangat rindu akan ibunya di desa.
-Kami terlalu marah dengan sikap pemalunya itu.
v. Kata adjektif emosi tidak boleh berakhiran dengan ‘kan’.
Salah:
-Dia amat marahkan anaknya yang nakal itu.
-Siti begitu sayangkan kakak sulungnya.
Betul:
-Dia amat marah akan anaknya yang nakal itu.
-Siti begitu sayang akan kakak sulungnya.
.
vi. Jika kata adjektif sudah digandakan, kata penguat tidak boleh digunakan.
Salah:
-Rumah di situ besar-besar sekali.
-Pokok kelapa itu sangat tinggi-tinggi.
Betul:
-Rumah di situ besar-besar.
-Rumah di situ besar sekali.
-Pokok kelapa itu tinggi-tinggi.
-Pokok kelapa itu sangat tinggi.
vii. Jika kata adjektif sudah digandakan, kata nama yang bersangkutan dengan kata adjektif itu tidak boleh digandakan juga. (pilih salah satu sahaja digandakan)
Salah:
-Anak-anak Encik Rajoo pandai-pandai semuanya.
-Ikan-ikan yang dijual itu murah-murah harganya.
Betul:
-Anak Encik Rajoo pandai-pandai semuanya.
-Anak-anak Encik Rajoo pandai semuanya.
-Ikan yang dijual itu murah-murah harganya.
-Ikan-ikan yang dijual itu murah harganya.
viii. Kata adjektif yang berimbuhan ‘ter…’ tidak boleh dijadikan ‘pradikat tunggal’ atau ‘pradikat yang pertama’. (tambahkan ‘lah yang’ atau gunakan kata penguat)
Salah:
-Pelajar itu terpandai.
-Pelajar itu terpandai di tingkatan tiga.
Betul:
-Pelajar itulah yang terpandai.
-Pelajar itu paling pandai.
-Pelajar itulah yang terpandai di tingkatan tiga.
-Pelajar itu paling pandai di tingkatan tiga.
.