Faedah Kedai Koperasi Sekolah
Sejak dua tiga dekad
belakangan ini memang kita dapat menyaksikan peranan koperasi kepada warga
sekolah. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana
menggalakkan penubuhan koperasi dalam kawasan sekolah. Koperasi merupakan
perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan
murid. Oleh itu, faedah yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan
terperinci demi kebaikan bersama.
Umum mengetahui bahawa
koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu
memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Malah, harga yang
dikenakan lebih murah dan berpatutan daripada harga di pasaran. Secara
logiknya, murid-murid hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar
raya semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Dengan penubuhan koperasi,
secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir
wang.
Selain itu, kita dapat
menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi
seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Secara tidak langsung,
penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik
darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan
matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga
daripada penglibatan mereka dalam koperasi. Pengalaman tersebut juga membantu
memudahkan murid-murid yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan
dan menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pada masa hadapan. Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Lanjutan huraian yang
telah dinyatakan di atas, penubuhan koperasi juga memberi faedah dengan
menambah kewangan sekolah. Keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca
daripada pembelian murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh yang
demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah supaya
kewangan sekolah meningkat memandangkan koperasi merupakan kepunyaan sekolah.
Di samping itu, kebayakan koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan untuk
sekolah demi kemudahan murid-murid dan guru-guru. Misalnya, kemudahan pendingin
hawa di dalam surau Aisyah Umairah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya
Presint 9 (1) merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut.
Pada realitinya,
memang tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa semangat muhibah
dalam kalangan guru dan murid. Buktinya, penglibatan murid-murid memudahkan
guru-guru dalam menguruskan koperasi kerana jika tiada kesepakatan, pengurusan
koperasi tidak akan akan berjalan dengan lancar. Di samping itu, murid-murid
juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai contoh, ilmu mengenai selok-belok
perniagaan berkoperasi. Hubungan silaturrahim antara guru dan murid juga
terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan
seperti aur dengan tebing.
Intihanya, penubuhan
koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti
cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah
termasuk guru dan murid. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah
bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan
serta menambah baik tahap koperasi kepada yang lebih tinggi. Sekiranya semua
pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan
dalam jangka masa yang lama. Jelaslah, peranan warga sekolah menaik taraf
koperasi adalah sama penting dengan peranan koperasi terhadap warga sekolah.
.