Melancong Dalam Negara
Kata orang, “Jauh berjalan,
luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita mengembara, maka semakin
banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang yang suka melancong ke
luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi negara orang. Namun
begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita mengenepikan destinasi
pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk berdarmawisata? Oleh yang
demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya jika kita sebagai
warga Malaysia melancong dalam negara.
Sedar atau tidak, apabila kita
melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang untuk mengenali dengan lebih
dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan warisan negara. Tamsilannya,
negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam semula jadi seperti
Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar raya Bersejarah, dan
Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita telah mewujudkan kepelbagaian
budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan. Dengan kata lain, kita akan
lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum rakyat Malaysia jika
melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah perasaan bangga dan
cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap seperti lembu yang
sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada rumput-rumput yang
sedang diragut.
Di samping itu, pertambahan
bilangan pelancong domestik mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini,
secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan. Misalnya,
industri perhotelan, taman tema, restoran, dan pusat beli-belah yang sinonim
dengan industri pelancongan akan menawarkan banyak peluang pekerjaan dan
perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta
daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan. Buktinya,
sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion
keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi
menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita tidak boleh terlalu
bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi oleh banyak faktor
seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya, pelancong tempatan
memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik.
Jika kita renungkan sejenak,
kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat
menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke luar negara, kita
memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan
makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang
kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih
tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian.
Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya kita
diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan
taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari
suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita.
Deduksinya, jika hendak melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana
jika kita melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar.
Tambahan pula, aktiviti
melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk merapatkan hubungan
kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara yang secara
relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu bapa
boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya
anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai
destinasi pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak
dan sekali gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam
minum air. Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang
yang ada untuk membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah
antara ahli keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya.
Konklusinya, pelancong domestik
mampu memacu kepada iklim ekonomi yang memberangsangkan. Pada masa yang sama
dapat menyemai semangat patriotik yang seterusnya memperkukuh jati diri rakyat
tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk memajukan industri pelancongan
domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan demi kelestarian industri
berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa rebah. Akhirul kalam,
melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.
.