Langkah-Langkah untuk Menyuburkan Budaya Tegur-Menegur, Kunjung-Mengunjungi
dan Hormat-Menghormati dalam Kalangan Masyarakat
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Itulah slogan yang sangat masyhur dalam
kalangan masyarakat bagi membentuk semangat perpaduan. Dulu, kini dan selamanya
perpaduan amat signifikan terhadap semua umat manusia. Namun, kesedaran
tentang hal demikian semakin lama semakin sirna daripada pandangan
masyarakat akibat sikap individualistik yang semakin beraja di mata,
bersultan di hati. Masyarakat moden pada hari ini yang rata-ratanya
bekerjaya sering mengambil mudah dan memandang sebelah mata sahaja
hal-hal berkaitan dengan kemasyarakatan. Amalan tradisi yang persis aur
dengan tebing dan menjadi pegangan nenek moyang kita seperti budaya
tegur-menegur, kunjung-mengunjungi, dan menghormati dalam kalangan masyarakat
kian diabaikan seiring waktu berputar. Oleh hal yang demikian, kesedaran ini
harus diterapkan dan disuburkan semula dalam kelompok masyarakat madani.
Pelbagai prakarsa yang efektif dapat diimplementasikan antara
satu sama lain bagi menghidupkan kembali budaya murni tersebut.
Mana-mana pihak berkuasa yang terlibat dalam
menyuburkan amalan murni ini seperti jawatankuasa kampung dan rukun tetangga
harus memainkan peranan dengan cakna dan peka terhadap perkara ini.
Pelbagai aktiviti umum yang melibatkan masyarakat harus dilaksanakan
dengan terancang dan konsisten seperti aktiviti kemasyarakatan. Aktiviti
yang demikian dapat memberi kemaslahatan yang besar terhadap kehidupan
bermasyarakat. Antara contohnya seperti aktiviti bergotong-royong dan
kenduri-kendara mampu mengeratkan hubungan silaturahim di samping merancakkan
semangat perpaduan antara jiran yang bervariasi etnik. Perkara ini dapat
dibuktikan apabila masyarakat setempat bersatu hati dan saling membantu antara
satu sama lain ketika melaksanakan aktiviti yang telah dirancang oleh pihak
terbabit sekaligus membentuk keakraban antara jiran tidak kira sama ada secara
langsung atau memerlukan sedikit masa. Walau bagaimanapun, aktiviti
kemasyarakatan ini wajar dilakukan secara konsisten serta dijadualkan agar momentum
mereka dalam melaksanakan amalan murni ini terus kekal subur dan sebati dalam
jiwa masing-masing. Jelaslah bahawa aktiviti kemasyarakatan merupakan wadah
penting yang pragmatik kerana mampu mewujudkan satu kelompok masyarakat
yang bersatu padu dan hidup berkasih sayang.
Selain itu, masyarakat juga perlulah sentiasa
menerapkan nilai murni di dalam diri masing-masing misalnya sikap suka membantu
orang lain. Hal yang demikian kerana nilai murni tersebut mampu membina ukhuwah
yang erat sesama manusia. Sudah menjadi lumrah, jiran merupakan insan yang
paling rapat ibarat saudara sendiri selepas keluarga. Mereka menjadi tempat
bergantung apabila seseorang individu berhadapan dengan pelbagai kemelut sama
ada besar atau kecil yang memerlukan bantuan dan sokongan. Hal ini terbukti
apabila jiran kita menghadapi masalah atau berada dalam kesusahan dan sebagai
jiran yang bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat sekeliling, kita
seharusnya memberikan khidmat dan berjasa kepada orang lain tidak kira bantuan
yang dihulurkan dari segi wang atau perkhidmatan tanpa mengira status mereka.
Peribahasa ada menyebut, “harimau mati meninggalkan belang, manusia
mati meninggalkan nama” yang bertepatan dengan khidmat bakti
seseorang yang tetap dikenang walaupun mereka telah meninggal dunia. Oleh itu,
apabila kita sering membantu jiran sekeliling atau sesiapa sahaja, sekaligus
kita telah mentaati adab terhadap masyarakat iaitu saling berkunjung dan
menghormati antara satu sama lain. Benarlah bahawa sikap suka menolong orang
lain dapat merealisasikan impian setiap insan bagi mewujudkan kehidupan
bermasyarakat yang lebih baik dan seutuh Tembok Besar China.
Ibu bapa sering dilambangkan sebagai suri
teladan bagi anak-anak dalam proses kematangan mereka berfikir. Hal ini
demikian kerana sikap dan adab ibu bapa menjadi ikutan anak-anak dalam
kehidupan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peranan ibu bapa dalam membentuk
akhlak dan jati diri anak-anak sangat besar. Anak-anak pada era modenisasi ini
sering dihidangkan dengan pelbagai lambakan teknologi seperti gajet dan internet
sehingga mereka alpa dengan adab-adab dan nilai murni yang menjadi
amalan masyarakat dahulu kala. Fenomena ini menjadi satu cabaran hebat bagi ibu
bapa. Namun, mana mungkin kayu yang bengkok dapat menghasilkan
bayang-bayang yang lurus. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, ibu
bapa perlu mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani untuk memainkan
peranan mereka dalam memupuk sikap hormat-menghormati dalam diri anak-anak
sejak mereka kecil bak kata peribahasa, “melentur buluh biar dari
rebungnya.” Ibu bapa perlu menerangkan nilai-nilai murni sekaligus
mempraktikkannya agar dapat sebati dalam diri anak-anak. Tamsilnya, ibu bapa
harus sering membawa anak-anak mengunjungi saudara-mara dan jiran tetangga
ketika ada waktu senggang dan menunjukkan adab dalam berinteraksi dengan orang
yang lebih tua. Hal ini walaupun kecil namun memberi impak yang sangat
mendalam dalam proses interaksi sosial anak-anak. Izharnya,
peranan ibu bapa dalam mencorak peribadi anak-anak dapat memastikan amal
tradisi ini terus lestari dan tidak lenyap ditelan zaman.
Dalam pada itu, sebagai masyarakat yang
prihatin, kita mestilah mempunyai kesedaran tersendiri untuk menyertai pelbagai
program yang diadakan anjuran kerajaan dan agensi bukan kerajaan. Slogan “Budi
Bahasa Amalan Kita” yang diwara-warakan seharusnya disambut meriah oleh
anggota masyarakat dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk
melahirkan masyarakat yang penyayang dan berbudi bahasa. Kerajaan
mencari pelbagai alternatif yang pragmatik kerana proses asimilasi masyarakat
bukanlah sesuatu yang mudah untuk diaplikasikan. Kerajaan dengan
bantuan agensi-agensi bukan kerajaan telah menganjurkan pelbagai program
seperti ceramah, pameran dan kursus interim agar dapat meningkatkan
kesedaran dalam masyarakat tentang peri pentingnya amalan murni bagi memelihara
kesejahteraan sejagat. Oleh itu, sebagai anak watan yang mempunyai
kesedaran, kita perlulah memberi sepenuh komitmen terhadap program-program
tersebut kerana hal ini dapat membina semangat kekitaan sesama masyarakat di
samping dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain. Sementalahan, ilmu yang
dikongsi itu mampu mewujudkan marhaen yang mempunyai sikap
hormat-menghormati, bertegur-sapa, dan bertoleransi. Masyarakat seyogianya
menyahut seruan kerajaan agar lebih progresif dan bersatu-padu dalam membina
sebuah negara bangsa yang mempunyai minda dan akhlak kelas pertama.
Masyarakat merupakan satu unit sosial yang
merangkumi individu, keluarga, jiran tetangga dan kelompok-kelompok kecil yang
hidup bersama dalam sesuatu tempat manakala manakala masyarakat yang prihatin
ialah masyarakat yang saling membantu dan bekerjasama dalam segala hal untuk
menjamin kesenangan hidup bermasyarakat. Jaringan erat antara anggota
masyarakat hanya akan terbentuk melalui hubungan secara bersemuka. Kekerapan
amalan bersemuka ini akan menghasilkan kesepaduan pola hubungan
sosial dan membentuk kehidupan masyarakat yang lebih harmonis. Tidak
mustahil perkara ini dapat direalisasikan sekiranya setiap anggota
masyarakat mengamalkan sikap bertanya khabar, menziarahi dan membantu jiran
yang ditimpa musibah atau berkumpul ketika menyambut pelbagai hari perayaan.
Hal ini dapat memeriahkan lagi suasana kehidupan berjiran ini. Bukan itu
sahaja, apabila setiap anggota masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni
tersebut, mereka dapat mengenali jiran tetangga dengan lebih rapat lagi serta
dapat bertukar-tukar idea dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul
seperti aur dengan tebing yang saling menyokong antara satu dengan yang
lain dalam membentuk sebuah ikatan sosial yang utuh. Oleh yang demikian, sikap
betolak-ansur turut dapat diaplikasikan dalam hidup bersama-sama
masyarakat sekeliling kita. Oleh itu, tiada benang basah yang perlu ditegakkan
dalam membicarakan soal kepentingan hidup berjiran. Jadi, amat wajarlah kita mengimplimentasikan
budaya toleransi bagi membina kelangsungan hidup masyarakat yang saling
bermuafakat.
Intihanya, setiap individu dalam kelompok
masyarakat tidak seharusnya mempunyai stigma negatif terhadap kehidupan
bermasyarakat sebaliknya mestilah mengorak langkah dan bersatu hati
ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni ke arah membina
masyarakat yang sejahtera dan hidup berkasih sayang. Melalui prakarsa
yang pragmatik ini juga, semangat perpaduan yang terjalin mampu mengubah
corak hidup kita bersama-sama jiran atau masyarakat serta melahirkan sebuah
negara dan bangsa yang berkualiti sejajar dengan visi kudsi negara ke
arah mencapai Wawasan 2020. Tegasnya, masyarakat yang harmonis amat penting
agar kelestarian budaya dan amalan nenek moyang terus dapat dikekalkan dan
tidak lenyap ditelan arus zaman. Peribahasa ada mengatakan, “bulat air
kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat.
.