Novel
Songket Berbenang Emas : Sinopsis Bab 22 → Bab 28
Bab 22:
Kain Merah yang Reput
Abu Bakar telah insaf akan perbuatannya yang
terpengaruh oleh kawan-kawannya yang datang daripada keluarga yang senang. Dia
banyak membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah. Abu Bakar bertekad untuk
memberi sumbangan kepada keluarganya.
Sewaktu mengemas barang-barang di bawah
rumahnya, Abu Bakar terjumpa kain merah
yang hampir reput membalut dua biji telur ayam yang mengandungi jarum peniti,
cincin akik, butiran pasir, dan dua batang paku. Barang-barang ini menunjukkan
selama ini ada orang yang berhasad dengki terhadap keluarga mereka. Abu Bakar
ingin menunjukkan barang-barang itu kepada Embong tetapi dilarang oleh Dahlia.
Dahlia menyuruh Abu Bakar membuangnya ke sungai. Dahlia melarang adiknya
menyimpan perasaan dendam.
Dahlia mendapati Nek Kiah sudah beberapa hari
tidak kelihatan di rumahnya atau di mana-mana di kampung itu. Keadaan ini
merisaukan Dahlia. Dahlia telah pergi ke rumah Nek Kiah dan didapati neneknya
sedang sakit. Namun begitu, Nek Kiah telah menghalaunya.
Bab 23: Sinar Kebahagiaan
Dahlia kembali semula ke sekolah. Kehadiran Dahlia
disambut dengan gembira oleh kawan-kawannya. Kavita memberitahu Dahlia bahawa
Najib begitu berharap agar Dahlia dapat menerima cintanya. Akan tetapi, Dahlia
hanya menganggap Najib sebagai sahabat sahaja, tidak lebih daripada itu.
Semasa pulang ke rumah, Dahlia amat gembira
apabila mendapati emaknya telah pulang dari hospital. Saleha telah pulih
daripada penyakitnya. Azhari juga ada bersama-sama ketika itu. Dahlia mengajak
Azhari pergi ke rumah neneknya. Nek Kiah
terbaring dalam keadaan mata yang terpejam. Panggilan Dahlia juga tidak
disahutnya.
Bab 24: Runtuhnya Tembok Kesombongan
Nek Kiah tinggal di rumah Embong selepas
dimasukkan ke wad selama dua hari. Nek Kiah berasa bersalah terhadap keluarga
Embong. Mereka melayan Nek Kiah dengan baik. Anak-anak dan cucunya yang lain,
termasuk Seman langsung tidak menziarahinya ketika beliau sakit.
Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Air
sungai sudah mula melimpah. Abu Bakar memaklumkan jambatan telah patah dan
orang kampung telah mula mengemas barang-barang untuk berpindah ke balai raya. Embong
dah ahli keluarganya turut berkemas untuk berpindah ke balai raya.
Dahlia dan keluarganya berpindah dengan
menaiki bot ke balai raya. Terdengar rungutan penduduk tentang keadaan yang
berlaku itu. Bagi Haji Sulaiman, banjir yang
berlaku itu ada hikmah yang
tersendiri.
Bab 25: Inilah Kampungku!
Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh .
Nek Kiah telah mengajak Embong sekeluarga tinggal di rumahnya. Mereka bersyukur
akan perubahan Nek Kiah. Nek Kiah juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang
hendak dijual itu.
Sebelum semua mangsa banjir pulang ke rumah
masing-masing, Haji Sulaiman telah menyampaikan ucapan kepada penduduk Kampung
Parit Haji Rais. Beliau menyeru agar penduduk kampung saling membantu antara
satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran tetangga. Beliau juga berharap
supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama menjayakan apa-apa projek di
kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat.
Kesan daripada kata-kata Haji Sulaiman, penduduk
kampung itu mulai insaf dan mereka telah bergotong-royong membina rumah Embong semula dengan wang
sumbangan parti. Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya.
Begitu juga dengan Tauke Lim. Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak
disisihkan. Tauke Lim mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik
pelamin.
Bab 26: STPM, akan Kugapai Kecemerlangan
Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum
peperiksaan STPM menjelang. Dalam kesibukan itu, Azhari telah datang dengan
ibunya bagi membincangkan tarikh pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30
Disember, iaitu selepas Dahlia tamat peperiksaannya. Dahlia hanya menurut
sahaja kehendak keluarga Azhari dan keluarganya.
Selepas tamat peperiksaan, Dahlia berasa
sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawannya. Dahlia juga memberitahu
Siti Wangi dan Kavita tentang pertunangannya. Dahlia juga bercadang untuk
bekerja di kilang untuk mencari pengalaman.
Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman
Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk
memberitahu bahawa Dahlia telah terpilih untuk mengikuti pengajian di salah
sebuah universiti di Jepun selama empat
tahun. Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran
Johor berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun
Dahlia akan belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan.
Azhari terdengar berita itu ketika dia datang
untuk membeli cincin pertunangan mereka. Dia mengucapkan tahniah dan merelakan
Dahlia belajar di Jepun. Dahlia akan mendaftar di Universiti Malaya sehari
selepas dia bertunang dengan Azhari.
Bab 28 : Koi-bito
Dahlia amat gembira kerana hubungan
keluarganya dengan Nek Kiah semakin rapat. Akan tetapi, Dahlia rasa sedikit
berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas pertunangannya. Nek Kiah telah
menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.
Dahlia teringat kembali kenangannya sewaktu
pergi membeli cincin dengan Azhari. Kawan –kawan Dahlia dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis
pertunangannya. Bas ke Kuala Lumpur akan bertolak pukul 5:00 petang tetapi
rombongan keluarga Azhari belum juga sampai. Dahlia semakin risau. Abahnya
menyuruh Dahlia berkemas untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman
menyerahkan sumbangan orang kampung kepada Dahlia sebanyak RM500 termasuk yang
diberi oleh Tauke Lim sebanyak RM300.
Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar
Penggaram yang jauhnya kira-kira 17 kilometer dari kampungnya. Azhari datang
berjumpa dengan Dahlia dan memberitahu
punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak ciknya lambat
sampai. Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket
berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari juga menyebut “Koi-bito”
yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri
sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.
.