Novel Songket Berbenang Emas : Sinopsis Bab 15 → Bab 21

Novel  Songket  Berbenang  Emas : Sinopsis Bab 15 → Bab 21



Bab 15: Ingin Mempersunting Bunga di Taman
Keluarga Azhari telah datang merisik Dahlia. Embong berasa berat untuk menerima lamaran tersebut kerana Dahlia merupakan anak sulung yang menjadi harapan keluarga. Embong sangat berharap Dahlia dapat belajar hingga ke universiti dan dapat membantu keluarga. Walau bagaimanapun, ibu Azhari yang mengetuai rombongan itu kerana suaminya ke Kuala Lumpur. Beliau mengatakan bahawa perkara itu tidak menjadi halangan kepada ikatan Azhari dan Dahlia. Mereka sanggup menunggu Dahlia hingga tamat pengajiannya. Akhirnya, Embong menyerahkan keputusan itu kepada Dahlia, cincin merisik diletakkan dia atas meja. Selepas itu, Embong bersiap-siap untuk menunaikan solat di masjid. Semasa mandi, Embong telah dipatuk oleh seekor ular di pahanya.

Bab 16: Bisa Ular Tedung

Embong terpaksa dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan. Semasa ketiadaan ayahnya, Dahlia terpaksa menguruskan banyak perkara. Melihatkan keadaan itu, Mawar menyuarakan hasratnya untuk berhenti sekolah agar dapat menjaga adik-adiknya. Dahlia melarang hasrat Mawar kerana Mawar pernah berjanji kepada emak mereka untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SRP. 

Sewaktu Dahlia melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, dia terserempak dengan Cikgu Hisyam dan Kavita yang kebetulan menghantar Siti Wangi yang pengsan semasa menjalani latihan bola jaring. Kemudian, Cikgu Hisyam dan Kavita menziarahi abah Dahlia. Cikgu Hisyam meminta Kavita untuk membuat salinan nota-nota sepanjang  Dahlia tidak hadir ke sekolah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Pada petang itu,Nek Kiah dan Seman datang melawat Embong. Nek Kiah memberitahu Dahlia sangkaannya bahawa rumah itu berhantu adalah benar kerana seorang demi seorang keluarga Dahlia mendapat bencana. Nek Kiah juga memberitahu tanah itu akan dijual dan menyuruh keluarga Dahlia duduk di kebun di hujung kampung. Dahlia tidak bersetuju dengan cadangan neneknya.

Bab 17: Kupertahankan Tanah Sekangkang Kera

Dahlia tertekan kerana banyak perkara yang difikirkannya. Antaranya ialah pelajarannya yang banyak ketinggalan disebabkan dia kerap ponteng sekolah, emaknya yang masih dirawat di hospital, abahnya dipatuk ular sedang dirawat di Hospital Batu Pahat, adiknya, Abu Bakar tidak boleh diharap untuk membantunya dan juga hasrat Azhari yang ingin melamarnya. Semasa Abu Bakar balik ke rumah untuk menukar pakaian, Dahlia  memeriksa dompet milik adiknya, dia terkejut apabila terdapat RM120 di dalam dompet tersebut sedangkan adiknya tidak bekerja.

 Azhari datang ke rumah Dahlia untuk mengambil pakaian emak Dahlia. Azhari terkejut apabila dimaklumkan bahawa abah Dahlia dimasukkan ke Hospital Batu Pahat kerana dipatuk ular. Selepas Azhari pergi, Nek Kiah datang untuk bertanya tentang rancangannya untuk menjual tanah tempat tinggal keluarga Dahlia. Jika keluarga Dahlia mahu terus tinggal di situ mereka perlu membayar sebanyak RM15000 kepadanya. Dahlia tidak dapat membuat sebarang keputusan. 

Bab 18: Budi Tanpa Mengira Warna Kulit

Pada pagi itu, Dahlia membawa Anggerik untuk melawat abahnya di hospital. Dia menunggu bas di pondok bas. Tauke Lim telah datang bertanyakan tanah yang akan dijual. Menurut Seman, Dahlia telah bersetuju untuk menjual tanah tersebut, tetapi Dahlia menafikannya. Tauke Lim berasa hairan akan sikap Nek Kiah yang tamak akan wang sedangkan Nek Kiah tidak mengalami masalah kewangan. Tauke Lim berjanji akan berbincang tentang perkara itu dengan abah Dahlia. Tauke Lim juga meminta agar Dahlia mengajarkan anaknya, Ann dalam penulisan karangan Bahasa Melayu kerana anaknya lemah dalam penulisan sedangkan peperiksaan SRP akan menjelang tidak lama lagi. Dahlia bersetuju untuk menerima tawaran Tauke Lim itu. Dahlia terkejut apabila tiba-tiba sahaja sebuah kereta Honda Civic milik Cikgu Hisyam berhenti di depan pondok bas tersebut.

Bab 19 : Apabila Dua Jejaka Bertemu

Cikgu Hisyam dan Kavita menasihati Dahlia supaya tidak berhenti sekolah sebaliknya terus bertahan lebih kurang empat lima bulan sahaja lagi sebelum menghadapi peperiksaan. Namun begitu, Dahlia terasa amat sukar untuk ke sekolah semula kerana memikirkan adik-adiknya yang memerlukan penjagaannya.

Najib datang ke rumah Dahlia. Najib melihat ada beberapa orang sedang mengukur tanah di kawasan itu. Dahlia memaklumkan tanah itu akan dijual. Najib bersedia untuk membayar harga tanah tersebut tetapi Dahlia menolak tawaran Najib. Kemudian, Azhari pula datang ke rumah Dahlia. Timbul pelbagai persoalan dalam hati Azhari mengenai hubungan Najib dan Dahlia.

Kedatangan Najib dan Azhari ke rumah Dahlia telah menyebabkan Nek Kiah memandang serong akan cucunya. Nek Kiah telah memberitahu Dahlia, tanah tersebut telah ada pembelinya. Oleh itu, Dahlia perlulah bersiap sedia untuk berpindah.

Bab 20 : Ingin Kujunjung Langit

Nek Kiah datang lagi untuk mengingatkan Dahlia tentang tanah tersebut yang akan dijual. Nek Kiah terkejut apabila melihat Embong ada di rumah. Apabila Nek Kiah bertanya kepada Dahlia sama ada dia telah memberitahu abahnya tentang hal tanah, Embong menggunakan kesempatan itu untuk mengenakan Nek Kiah dengan menggunakan parang yang sedang dipegangnya dengan mengatakan parang itu tajam dan senang hendak potong leher. Selepas itu, Nek Kiah pulang ke rumah. Dahlia memberitahu ayahnya dia ingin bekerja bagi membantu meringankan beban ayahnya. Akan tetapi, Embong tidak bersetuju kerana beliau mahu Dahlia belajar hingga ke universiti.


Tauke Lim datang ke rumah Embong dan menyatakan kesanggupannya untuk membayar harga tanah yang mahu dijual oleh Nek Kiah supaya Embong dan keluarganya dapat terus tinggal di situ. Menurut Tauke Lim, beliau ikhlas membantu demi kebaikan bersama-sama. 

Bab 21: Hijrah Remaja Harapan

Pada pagi itu Dahlia pergi ke balai raya. Pada ketika itu, tidak ramai yang datang ke balai raya untuk bergotong-royong bagi majlis sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan malam nanti. Dahlia membantu kerja-kerja memasak di situ. Tauke Lim turut  menyumbangkan barang-barang untuk sambutan tersebut. Haji Sulaiman selaku ketua kampung amat risau akan hal ini kerana kurang sambutan. Aton dan Abu Bakar turut berada di balai raya itu. Kedatangan Abu Bakar mengejutkan Dahlia kerana dia tidak menyangka adiknya akan membantu kerja-kerja tersebut.

Aton banyak bercakap daripada melakukan kerja. Dia memberitahu Mak Aji, isteri Haji Sulaiman bahawa Dahlia membawa lelaki silih berganti ke rumahnya.  Kata-kata Aton telah menyebabkan Dahlia bersedih. Abu Bakar yang terdengar akan kata-kata Aton itu telah hilang sabar dan hampir-hampir memukul Aton tetapi dihalang oleh Haji Sulaiman.
Dahlia terus pulang ke rumah selepas peristiwa itu. Abu Bakar telah memujuk Dahlia. Dahlia memberitahu telah banyak dugaan yang ditempuhinya. Abu Bakar juga telah memeluk ayahnya dan memberitahu dialah yang telah mencuri kambing milik abahnya.

.