Novel Songket Berbenang Emas : Sinopsis Bab 1 → Bab 7

Novel  Songket  Berbenang  Emas : Sinopsis Bab 1 → Bab 7

Bab 1: Kalaulah Engkau Mengerti

Setelah penat berlatih bola jaring untuk bertanding dengan pelajar tingkatan enam rendah, Dahlia berbual-bual dengan Siti Wangi, rakan karibnya mengenai kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam. Dia memberitahu Siti Wangi, isi telah dicari tetapi fakta-fakta masih tidak lengkap.

Kemudian, Kavita datang menemui Dahlia dengan membawa pesanan seorang lelaki mahu bertemunya di kantin. Dahlia pergi bertemu dengan lelaki itu yang bernama Azhari. Lelaki itu memberitahu Dahlia, dia telah habis belajar dan akan mendapat segulung ijazah pada bulan Ogos nanti. Azhari juga memaklumkan  keluarganya akan datang ke rumah Dahlia untuk tujuan merisik. Dahlia meminta Azhari mengerti bahawa dia masih belajar dan ingin membantu keluarganya kerana dia merupakan anak sulung.

Bab 2: Detik-detik Hati Tersentuh

Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke kampungnya tetapi sehingga ke jambatan sahaja. Jirannya yang bernama Aton telah menegurnya semasa dia turun dari kereta Azhari. Aton juga menyindir Dahlia yang selalu balik dengan mengatakan bahawa dia tidak suka tinggal di asrama. Dahlia membalas sindiran Aton dengan mengatakan bahawa orang tuanya masih ada. Dahlia tidak suka akan Aton kerana Aton mengatakan emaknya “tak betul”.

Sewaktu sampai di rumahnya, Dahlia terdengar adiknya, Anggerik menangis kelaparan. Melati memberitahu emak mereka telah keluar rumah dan belum pulang lagi. Dahlia terus mendapatkan Anggerik dan memarahi Melati kerana membuat susu yang terlalu cair. Sebenarnya, susu telah habis. Dahlia telah menyiapkan makan malam manakala Melati disuruh pergi ke kedai Tauke Lim untuk membeli susu dan gula pasir sekilo  secara hutang.  

Selepas itu, Dahlia pergi mencari emaknya di kebun getah. Dahlia terdengar emaknya bercakap sendirian dan tidak mempedulikan panggilannya. Hati Dahlia benar-benar tersentuh apabila melihat ibunya sebegitu. Emaknya juga tidak mengenalinya menyebabkan Dahlia menangis. Tiba-tiba, ayahnya Embong muncul dan bertanyakan sebab Dahlia di situ kerana sudah masuk waktu Maghrib. Dahlia menuding ke arah emaknya. Embong cuba memujuk Saleha balik ke rumah tetapi Saleha mengatakan rumahnya di tengah kebun getah itu dan dia tidak mahu diganggu. Dahlia mencadangkan ayahnya supaya mendapatkan bantuan orang kampung sebelum emaknya pergi lebih jauh ke dalam kebun.

Bab 3: Jangan Tinggalkan Kami

Selepas solat Isyak, Dahlia asyik befikir tentang penyakit emaknya itu. Dia tertanya-tanya sama ada emaknya terkena buatan orang. Akan tetapi, Dahlia tidak tahu orang yang berhasad dengki dengan keluarganya. Akhirnya, Dahlia pasrah dan mengakui bahawa semua yang berlaku itu adalah ketentuan Allah. Dahlia berdoa agar Allah menguatkan imannya, memberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui hari-hari yang mendatang. Dia juga berdoa agar emaknya pulih seperti sediakala. Setelah habis berdoa, Dahlia terdengar suara Nek Kiah,ibu kepada emaknya. 

Nek Kiah memarahi Embong kerana mengikat Saleha. Ayah Dahlia memberitahu, beliau terpaksa berbuat sedemikian kerana takut Saleha lari. Nek Kiah memang tidak suka akan keluarga Dahlia kerana mereka hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah membandingkan keluarga Dahlia dengan anak-anaknya yang lain yang semuanya hidup senang-lenang. Haji Sulaiman selaku Ketua Kampung Parit Haji Rais datang membawa orang dari Hospital Batu Pahat. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk membawa Saleha mendapatkan rawatan. Walaupun anak-anak dan Nek Kiah melarang Saleha untuk dibawa ke hospital namun Embong serba salah menghadapi situasi itu.

Bab 4: Dibuai Kenangan Indah

Dahlia menyelesaikan kerja rumah, kerja sekolah dan membantu  Melati menyiapkan latihan Matematik. Dahlia merebahkan dirinya di sebelah Anggerik. Dahlia mengimbas kembali pantun yang diungkapkan oleh Azhari sewaktu menghantarnya pulang pada hari Khamis yang lalu. Dahlia tidak sanggup untuk melukakan hati sesiapa. Dia meminta agar Azhari mengerti keadaan keluarganya yang belum sempurna. Dahlia juga meminta izin Azhari untuk membaiki diri sendiri dan keluarganya.

Pada petang Khamis itu, dia dihantar oleh Azhari pulang ke kampung tetapi Dahlia meminta Azhari memberhentikannya jauh dari rumahnya untuk mengelakkan salah faham orang kampung. Pada keesokan paginya,Dahlia dikejutkan oleh ayahnya yang menyuruhnya pergi ke sekolah. Embong memberitahu Dahlia bahawa beliau akan menguruskan hal berkaitan adik-adik Dahlia walaupun sebenarnya beliau sendiri tidak tahu akan cara untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana beliau terpaksa bekerja mencari nafkah keluarga. Perkara inilah yang menjadi punca beliau tidak mahu menghantar isterinya ke hospital. Embong pasrah memikirkan masalah tersebut, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. 

Embong mengimbas kembali perbualannya dengan Saleha mengenai ibu mentuanya, Nek Kiah yang tidak suka akan keluarga mereka. Nek Kiah tidak suka keluarga mereka disebabkan mereka hidup miskin tidak seperti anak-anaknya yang lain. Anak-anak Saleha dan Embong tidak diumpamakan sebagai cucu oleh Nek Kiah. Embong juga  teringat semula peristiwa isterinya pernah memberitahu bahawa sejak belakangan ini beliau terasa ada bayang-bayang mengejarnya. Telinganya juga sering terdengar suara yang pelik-pelik. Badannya juga terasa lemah. 

Embong dikejutkan oleh suara Dahlia yang disangkakan isterinya. Embong memberitahu Dahlia doktor memaklumkan emaknya hanya runsing, Embong tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada Saleha di bilik kurungan di hospital  itu kerana bimbang Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Embong juga memberitahu bahawa beliau akan memetik buah kelapa sawit Haji Sulaiman pada keesokannya. Mereka dikejutkan oleh Abu Bakar, adik Dahlia yang sudah tiga hari tidak balik ke rumah dan rela menjadi gelandangan setelah mendapat gred  tiga dalam SPM.

Bab 5: Kata Setajam Pedang

Dahlia menaiki bas JMBC berjalur merah untuk ke sekolah. Dia yang sepatutnya pulang pada hari Sabtu ke asrama tidak berbuat demikian kerana adiknya, Anggerik asyik menangis. Dahlia tidak rela dituduh  mementingkan diri sendiri oleh sebab itu dia pergi ke sekolah pada hari Ahad itu dari rumahnya. Dahlia sampai lewat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Ibrahim iaitu lima minit pukul lapan pagi. Pintu pagar telah berkunci. Dahlia ternampak Cikgu Salwani, warden asramanya sedang menuju ke bilik guru. Dahlia ditanya oleh Cikgu Salwani punca kelewatannya dan meminta Dahlia berjumpa dengannya pada petang itu. 

Dahlia tidak dapat menumpukan perhatiannya di dalam kelas. Dia asyik teringat emak, Anggerik dan ayahnya. Siti Wangi mengingatkan Dahlia, mereka ada janji temu pada pukul 2:00 petang untuk membincangkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada hari Khamis. Dahlia memberitahu dia tidak bersedia dan pada petang itu dia hendak melawat emaknya di  hospital. Pada petang itu, Dahlia tidak bertemu dengan Cikgu Salwani kerana dia risau akan ditanya macam-macam. Dahlia telah keluar dari asrama tanpa kebenaran wardennya dan terus pergi ke hospital untuk berjumpa emaknya. Dahlia terserempak dengan Haji Sulaiman ketika di hospital. Haji Sulaiman memaklumkan emaknya telah dibawa ke Hospital Permai, Johor Bahru.

Bab 6: Ditelan Arus Deras

Dahlia telah dihantar oleh Haji Sulaiman ke rumahnya. Haji Sulaiman telah memberitahu abahnya tentang Saleha yang telah dihantar ke Hospital Permai. Abah seolah-olah menyalahkan nasibnya yang sebegitu. Pada petang itu Nek Kiah telah datang ke rumahnya bertanyakan emaknya yang dikatakan telah dihantar ke rumah orang gila. Dahlia amat terpukul dengan perkataan “ orang gila” yang dilafazkan oleh Nek Kiah, nenek yang melahirkan emaknya. Nek Kiah memberitahu beliau geram apabila semua orang bercakap mengenai emak Dahlia di balai raya. Dia memberitahu punca emak Dahlia gila kerana rumah itu dilanggar hantu dan penuh syaitan dan selepas ini mungkin ahli keluarga yang lain pula akan terkena. Nek Kiah telah mengeluarkan kapur dan menggores pintu rumah dan pintu tengah dengan tanda pangkah supaya hantu tidak masuk rumah. Dahlia mengucap dua kalimah syahadah beberapa kali kerana tidak percaya dengan tindakan neneknya itu. Segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. 

Tiba-tiba Dahlia dikejutkan dengan jeritan di tebing sungai yang mengatakan Said telah hilang dibawa arus sungai. Dahlia terus terjun ke dalam sungai untuk mencari Said. Akhirnya, Dahlia telah menemui Said setelah dibantu oleh seorang pemuda yang bukan daripada penduduk kampung itu. Malangnya, denyutan jantung Said sudah terhenti. Nek Kiah telah menyuruh pemuda itu membawa Said keliling rumah tujuh kali kerana dikatakan nyawanya boleh kembali tetapi malangnya Said telah tiada.

Bab 7: Berbudi Berbalas Nista

Dahlia menangis setelah pulang daripada menziarahi mayat Said. Embong kehairanan kerana selama ini Dahlia telah dididik berjiwa kuat dan mampu menghadapi setiap dugaan. Selepas itu, Embong ke rumah Aton untuk menziarahi mayat Said. Said merupakan anak tunggal Aton. Aton mencari Embong dan memarahinya dengan mengatakan anaknya, Dahlialah yang menyebabkan Said mati dan Embonglah yang mahu Said mati. Embong terdiam mendengar kata-kata Aton. Embong turun ke bawah dan masuk ke dalam kelompok orang ramai di halaman di bawah pokok-pokok getah. Embong membiarkan Aton berkata-kata tentang dirinya dan Dahlia, beliau yakin kebenaran akan terbukti kelak. Embong terdengar suara-suara yang mempersoalkan kematian Said dan percakapan mereka yang semakin menyakitkan hatinya. Namun, Embong tetap bersabar dan beliau tidak mahu mencari musuh.  

Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, Embong bertemu dengan Tauke Lim. Tauke Lim memuji keberanian Dahlia yang cuba menyelamatkan Said. Embong sudah tahu punca Dahlia menangis setelah pulang dari rumah Aton. Memandangkan masa baru pukul 10.25 pagi, Embong pergi  memotong buah kelapa sawit di Parit Haji Kadir. Embong mengimbas kembali peristiwa pada petang semalam ketika Dahlia sedang memasak di dapur dalam keadaan yang lemah selepas menyelamatkan Said. Tersentuh hati Embong kerana sepatutnya masa remaja Dahlia dihabiskan dengan buku-buku pelajaran dan bukan kerja-kerja dapur. Embong bertekad untuk bekerja kuat demi masa depan anak-anaknya. Setelah tiba di kebun kelapa sawit itu, Embong terbau sesuatu. Beliau ternampak ular sawa sebesar paha melingkari pokok kelapa sawit. Sewaktu Embong pergi mencari buluh, ular sawa itu telah hilang. Tanpa diduga, ular itu menjatuhkan tubuh ke arah Embong hingga menyebabkan Embong panik.

.