Temu Duga: Perkara Yang Perlu dan Jangan Dilakukan
Ketika menghadiri temuduga,
pastinya ada perkara yang perlu dan jangan dilakukan oleh anda ketika temuduga.
Berikut adalah perkara yang perlu dan jangan dilakukan ketika temuduga yang
dapat dikongsi kepada anda semua.
1. Perkara yang sangat penting,
pastikan calon cari dulu lokasi temuduga sebelum hari sebenar anda calon perlu
menghadirinya. Ini bagi mengelakkan anda tersesat atau tiba lewat pada hari
berkenaan. Calon perlu sampai ke lokasi sekurang-kurangnya 10 minit awal
sebelum waktu yang ditetapkan. Kelewatan adalah perkara yang paling tidak boleh
diterima dalam temuduga. Jika ia tidak dapat dielakkan, sila hubungi dan
maklumkan mengenai kelewatan anda.
2. Kaji dan kenali jenis
temuduga pekerjaan yang akan calon hadiri. Buat persediaan dan berlatih sesuai
dengan jenis temuduga pekerjaan tersebut. Namun, jangan menghafal atau terlebih
berlatih hingga cara anda menjawab nanti kelihatan dibuat-buat. Semak soalan
lazim temuduga yang terdapat dalam panduan temuduga.
3. Berikan salam hormat kepada
penyambut tetamu atau pembantu syarikat tempat anda memohon kerja. Di sinilah
anda dapat menampilkan tanggapan pertama (first impression) yang baik.
4. JANGAN mengunyah gula-gula
getah ketika sesi temu duga.
5. Jika diberikan borang
permohonan kerja, isi dengan kemas, lengkap dan tepat.
6. Bawa salinan resume untuk
dirujuk panel penemuduga. Lebih baik jika anda sertakan bersama portfolio
kemahiran kerja anda.
7. JANGAN terlalu bergantung
kepada borang permohonan dan resume untuk menampilkan kebolehan anda. Tidak
kira bagaimana hebat pun anda dari segi akademik untuk jawatan yang dipohon,
anda masih perlu mempromosikan diri di hadapan penemuduga.
8. Beri salam kepada penemuduga
dan sebut pangkat atau gelaran mereka – Cik, Puan, Encik atau Dr. Jika anda
tidak pasti, tanyakan kepada penyambut tetamu.
9. Berjabat tangan dengan `kemas’
dan yakin. JANGAN bersalam dengan tangan yang basah.
10. Tunggu sehingga anda
dipelawa untuk duduk dan betulkan kedudukan tubuh serta `bahasa badan’ anda.
Duduk tegak, JANGAN memperlihatkan wajah anda yang gugup sebaliknya tunjukkan
wajah bersedia dan berminat sepanjang tempoh temuduga.
11. JANGAN cuba-cuba untuk
berjenaka ketika ditemuduga.
12. Buat eye contact yang baik
dengan penemuduga. Maksudnya calon memberi seluruh perhatian kepada panel
temuduga bukannya memandang ke arah lain sewaktu menjawab soalan. Ini kerana
eye contact mempunyai makna dan pengaruh yang amat besar.
13. Tunjukkan bahawa anda
sangat berminat bekerja di syarikat itu.
14. JANGAN merokok walaupun si
penemuduga mengajak anda berbuat demikian. Elakkan juga merokok sebelum
menghadiri temuduga supaya badan tidak berbau. Segarkan nafas anda.
15. JANGAN gunakan bahasa
pasar, slang atau kata-kata seperti ‘uh’, `hmmm’ dan sebagainya.
16. JANGAN bercakap terlalu
lemah-lembut. Suara yang bertenaga menggambarkan keyakinan diri anda.
17. Miliki keyakinan dan tenaga
yang tinggi tetapi JANGAN keterlaluan.
18. JANGAN pula tunjukkan anda
teramat memerlukan pekerjaan hingga sanggup menerima apa-apa jawatan pun.
19. Elakkan berbicara mengenai
topik yang kontroversi.
20. JANGAN mengulas apa-apa
yang negatif mengenai bekas majikan, penyelia atau teman sekerja.
21. Pastikan pendapat bernas
anda disampaikan dengan baik dan disokong dengan fakta supaya mampu difahami
oleh penemuduga.
22. JANGAN sesekali menipu.
Jawab pertanyaan panel temuduga dengan tepat dan padat. JANGAN berikan jawapan
yang meleret.
23. Tekankan mengenai
pencapaian anda. JANGAN bercerita perkara bersifat negatif mengenai diri
sendiri.
24. JANGAN berikan jawapan yang
terlalu ringkas seperti ya atau tidak. Bila perlu, sokong jawapan anda dengan
sedikit penerangan dan contoh. Ceritakan perkara yang dapat menyerlahkan bakat,
kemahiran dan kesungguhan anda.
25. Buktikan bahawa anda ada
membuat kajian mengenai syarikat dan industri yang ingin diceburi bila menjawab
soalan.
26. JANGAN berbicara mengenai
masalah peribadi atau keluarga.
27. JANGAN jawab soalan dengan
berkata sesuatu seperti “Itu soalan yang bagus..”. Calon boleh mengambil masa
untuk memikirkan jawapan dengan mengulang semula soalan atau meminta penemuduga
mengulang soalan. Tidak mengapa jika anda mengambil masa sejenak sebelum
menjawab soalan.
28. JANGAN jawab sebarang
panggilan telefon bimbit ketika sesi temuduga. Pastikan anda sudah senyapkan
atau matikannya.
29. Tunjukkan apa yang anda
boleh lakukan untuk syarikat berbanding apa yang boleh anda peroleh daripada
mereka.
30. JANGAN terburu-buru
bertanyakan hal gaji, cuti, bonus atau faedah sehingga anda benar-benar
menerima tawaran kerja itu tapi sentiasa bersedia jika ditanyakan soalan
sebegitu.
.