Punca dan Langkah Menangani Gejala Ponteng dalam Kalangan
Remaja
Ponteng merupakan kekangan
disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar diatasi di sekolah. Antara lain,
ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras kelemahan
sistem pendidikan Malaysia yang diimplementasikan melalui Dasar
Pendidikan Negara (DPN). Perang media menerusi akhbar, majalah, blog dan
sebagainya telah pun meletus bagi membincangkan pro serta kontra kegiatan
tidak bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang bergiat cergas
dengan mengobservasi punca dan ikhtiar bagi menekan kemajuan polemik
ini.
Punca bercambahnya masalah ini
termasuklah kurangnya didikan duniawi serta ukhrawi daripada ibu bapa. Hal ini
berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar kemewahan hinggakan sanggup
mempedulikan asas kehidupan serta dasar keagamaan anak-anak mereka. Bahkan
mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah yang bakal merosakkan anak bangsa
kita. Persis slogan 'pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi pergerakan dan
pergaulan anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya
mengatur strategi kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menjadi tonggak
negara pada masa akan datang.
Pemuda watan kita sering
tersilap memilih jalan seperti peribahasa menyebut 'terlajak perahu boleh
diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini disebabkan, remaja marcapada
lebih cenderung memilih rakan yang mengikut trend walhal budaya yang
disalurkan adalah negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat yang diisi
dalam kotak pemikiran kita sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal.
Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mengikut
peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya, mudahlah baginya
untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik dapat
mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna.
Di samping itu, peranan media juga
menjadi tulang belakang kepada kegawatan ini. Media kini lebih gemar
memaparkan program-program yang bertentangan dengan norma masyarakat lokal.
Eksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai intiha,
memesongkan iman para remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi untuk
terjerumus ke lembah kehinaan. Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap
masih longgar kerana wujud adegan-adegan separa lucah yang dapat meracun minda
remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali terikut-ikut dengan paparan
negatif yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Bagi menangani punca-punca ini,
pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara cara
demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan
pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini,
masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak
kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya
pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal
ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang
ponteng sekolah, kerana peribahasa ghalib menyebut "sediakan
payung sebelum hujan". Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah
mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif.
Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa
gejala ponteng bukanlah aktiviti yang menjamin masa depan. Sepatutnya, masa
yang terluang diisi dengan ilmu dan pengajaran sebagai bekalan untuk masa
hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah menitikberatkan peraturan dan
undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang sebelah mata akan
peraturan sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan mereka.
Apabila peraturan dan hukuman dilaksanakan, pelajar-pelajar akan tergerak
daripada mimpi dan sedar bahawa kebebasan yang dikecapi adalah terhad.
Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab
membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara
seterusnya bersaing dengan kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita
menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik
memperlekehkan kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin
keterjelmaan negara seiring dengan Gagasan 1Malaysia.
.