Langkah-langkah
Memartabatkan Bahasa Malaysia
'Bahasa jiwa bangsa', itulah
frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa
kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan
sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan
daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus
tidak relevan dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang
perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan
masyarakat?
Langkah-langkah yang patut diambil
termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan
kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini,
jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap
berdarjat tinggi berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan
syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar
diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan
sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak
ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan
zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus
dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak
harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan
bahasa Malaysia di peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan
dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang
tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan
Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif
sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang
sedang dihadapi Malaysia kini.
Sementelahan pula, kewujudan
Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng
berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa
Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan.
Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman
bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat.
Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa
sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini.
Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda
secara holistik.
Di samping itu, bagi mengukuhkan
kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencaman golongan, DBP
harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap
keindahan bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa
anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan
usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan
paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat
dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa
bahasa' dalam kalangan rakyat.
Mendepani arus globalisasi kini,
pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan terhadap
bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di
kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan pencakar langit,
banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut
dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah
tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan
mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi
menyedarkan pihak berkenaan bahawa bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah
mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat
bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa
ibunda.
Konklusinya,
semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa
Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya
sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk
menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya
menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah
Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang
baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah
kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala
dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.
.